Kebersihan Hakiki Datang Dari Hati Yang Suci....~~

Jika iman telah lenyap, maka tidak ada lagirasa aman .
Dunia ini tidak bererti jika agama tidak lagi dijunjungi.
Siapa orang yang hidup tanpa agama maka kehancuran akan menjadi teman setianya....

9 Nov 2010

JaDilah ManuSia BersyUkur

UMAT Islam masa kini perlu memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana ia adalah tanda keteguhan iman di atas segala nikmat kurniaan-Nya yang tidak terkira banyaknya.

Lebih-lebih lagi sebagai rakyat Malaysia mereka amat bertuah kerana Allah mentakdirkan berada atau memiliki sebuah negara yang aman dan mengurniakan pula rezeki dan nikmat yang melimpah ruah.

Nikmat keamanan yang diterima terus-menerus dan tidak putus-putus ini sepatutnya menambahkan lagi rasa terima kasih atau kesyukuran kepada Allah dan memperkuatkan lagi ketaatan serta pengabdian kepada-Nya.

Umat Islam di negara ini sepatutnya bermuhasabah diri seiring dengan usia yang semakin bertambah dan hampir ke penghujungnya. Saidina Umar al-Khattab pernah meluahkan ungkapan yang terkenal, iaitu: "Perhitungkanlah (hisablah) dirimu sebelum anda dihitung (dihisab) oleh Allah (pada hari akhirat)."

Bagaimanakah mengukur tahap rasa syukur kepada Allah atas segala nikmat pemberiannya yang tidak terhitung banyaknya selama ini?

Setiap umat Islam perlu berasa cemas dan takut kerana selepas banyak menikmati rezeki pemberian Allah, mereka tidak diiktiraf oleh Allah sebagai orang yang bersyukur kepada-Nya. Ini kerana di dalam al-Quran, Allah menyebut dalam beberapa ayat yang mana ramai manusia yang tidak berterima kasih kepada Allah atau sedikit sekali orang yang bersyukur kepada-Nya.

Orang yang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur, maka azab Allah bakal diterimanya di akhirat. Sebaliknya, orang yang tahu bersyukur dan menghargai nikmat pemberian Allah, mereka beruntung kerana Allah berkenan menambahkan lagi pemberiannya, sebagai firman-Nya bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (QS. Ibrahim: 7)

Nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia khususnya kepada Muslim boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

§ Nikmat untuk kelangsungan hidup di dunia seperti makanan, minuman pandangan, kekayaan, keamanan, kesihatan, umur dan nikmat berkasih sayang; dan

§ Nikmat yang paling mahal dan tinggi nilainya nikmat iman dan Islam kerana ia bukan setakat untuk di dunia tetapi berterusan sampai ke hari akhirat.

Umat Islam patut bersyukur kerana dikurniakan nikmat iman dan Islam di samping nikmat lain yang tidak terkira banyaknya. Marilah bersungguh-sungguh mempertahankan nikmat iman dan Islam sampai ke akhir hayat.

Soalnya, adakah umat Islam sebenarnya bersyukur dengan kedua-dua bentuk nikmat yang dikurniakan Allah? Allah berfirman, bahawa amat sedikit manusia yang bersyukur.

Allah menghuraikan mengenai banyaknya nikmat kurniaan Allah kepada manusia yang pasti tidak mampu dihitung. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. An-Nahl: 18)

Allah meminta supaya manusia yang banyak menerima nikmat dan kurniaan Allah supaya bersyukur, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur." (QS. An-Nahl:78)

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (QS. al-Baqarah: 185). Banyak lagi ayat al-Quran yang diakhiri dengan kalimah yang bermakna, "agar kamu bersyukur." Beberapa firman Allah (sekadar beberapa ayat) dalam al-Quran menyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak bersyukur atau sedikit sekali yang berterima kasih kepada Allah, seperti firman-Nya bermaksud: 'Dan sedikit sekali daripada hamba-Ku yang tahu berterima kasih (bersyukur)." (QS. Sabda': 13)

Dalam soal jawab Iblis dengan Allah, Iblis berkata, "Kemudian aku datang (memperdayakan) mereka dari muka, belakang, kanan dan kiri mereka. Dan tidaklah Engkau (Tuhan) akan mendapati kebanyakan daripada mereka tahu berterima kasih." (QS. al-A'raaf: 17). Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (QS. al-Baqarah: 243)

Sewajarnya umat Islam menaruh perasaan bimbang dengan penjelasan Allah seperti dalam beberapa ayat berkenaan, iaitu apakah mereka daripada kalangan orang yang bersyukur. Semoga kisah berikut memberi pengajaran atau iktibar kepada kita.

Diceritakan bahawa ada seorang pemuda pada zaman Saidina Umar al-Khattab yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit." Doa pemuda ini didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang bertawaf di Kaabah. Umar berasa hairan, iaitu kenapa pemuda berkenaan memohon doa sedemikian rupa.

Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur." Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah, jelas pemuda berkenaan.

Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu." Memanglah teramat sedikit yang tahu dan mahu bersyukur dan semoga kita termasuk dalam golongan yang sedikit berkenaan (yang bersyukur).

Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur dengan segala nikmat yang diterima daripada Allah?

Menurut Imam al-Junaid, "Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya". Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan ketaatan kepada-Nya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan - bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:

§ Syukur dengan lidah, iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11);

§ Syukur dengan anggota badan, iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah; dan

§ Syukur dengan hati, iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS. an-Nahl: 53)

Ibnu Atha'ullah Askandari pula berkata: "Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."

Ketika Siti Aisyah bertanya Rasulullah SAW (suaminya), mengapa baginda begitu kuat dan tekun beribadah (solat) sampai kakinya bengkak, sedangkan baginda seorang nabi yang telah diampun dosanya dahulu dan akan datang? Nabi Muhammad menjawab, "Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur kepada Allah."

Ini bermakna mentaati perintah dan menjauhi apa jua larangan Allah adalah tanda syukur kepada-Nya. Insaflah bahawa apa jua yang Allah suruh kerjakan dan tinggalkan segala larangan-Nya adalah semata-mata untuk keuntungan manusia sendiri.

Allah tidak mengambil sebarang faedah daripada apa jua yang diperintah dan dilarang-Nya. Allah tidak sekali-kali rugi jika semua manusia sepakat untuk tidak mentaati-Nya dan tidak pula untung sekelumit pun sekiranya semua manusia beriman dan patuh kepada-Nya. Bukankah Allah mewujudkan manusia di muka bumi ini untuk diuji. Allah hendak melihat siapakah antara mereka yang paling baik perbuatannya?

Ini selaras dengan penegasan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya."(QS. al-Kahfi:7)

28 Okt 2010

BERJUANG DAN TERUS BERJUANG!!!!!

Sabar dan syukur. Dua elemen yang cukup penting dalam kehidupan kita. Tapi seringkali kita terlupa.

Syukur itu biasanya terucap bilamana kita dapat apa yang kita inginkin. Sedangkan nikmat Allah itu datang setiap ketika. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?


Hari ini kita bicara tentang perjuangan. Perjuangan itu tidak mudah. Tapi bukanlah susah. Perjuangan menuntut kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Perjuangan bukan untuk semua orang. Ianya khusus untuk mereka yang ingin berjuang!


"Tension la....buat program orang tak datang..."

Keluhan yang sentiasa kedengaran. Kadang-kadang rasa kecewa melanda jiwa. Mana tidaknya, masa dan tenaga yang dicurahkan semacam sia-sia. Tidak ada hasil. Tidak balik modal kata orang.

Tapi duhai sahabatku, usaha dan tenaga kamu bukanlah sia-sia. Ada harga di sisi Allah s.w.t. Hidayah itu milik Allah s.w.t. Ingatkah kita akan bapa saudara Nabi yang matinya dalam kekafiran. Doalah dan terus istiqamah dalam perjuangan.


"Islam itu perjuangan...buka mata dan terus berjuang"

"Jangan lemah semangat!"

Kata Imam Hasan Al-Banna : " Kewajipan jauh lebih banyak dari masa yg kita ada"

Sabda Nabi SAW : "Sebahagian dari keindahan Islam seseornag itu ialah meninggalkan perkara yg tidak mendatangkan manfaat" (Hadis riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Imam Malik)

Oleh itu, wahai sahabat seperjuangan,

Tinggalkan perkara yg tidak mendatangkan manfaat kpd dirimu! demikian itu sebahagian dr keindahan dan kecantikan Islam seseorang. Begitulah terlebih wajar bagi seorang Muslim meninggalkan perkara2 yg diharamkan oleh Allah SWT lantaran ia pasti mendatangkan keburukan..

Kata Ustaz Hasrizal (Saifulislam.com):

Hidup ini menuntut kita membuat pilihan. Pilihlah jalan yang memberi bahagia Dunia dan Akhirat. Jauhilah pilihan yang buta, mencari sedap yang seketika, tetapi derita selama-lamanya. Jangan banyak memberi alasan. Semakin banyak memberi alasan, semakin hilanglah daripada hidupmu, rahmat dan bantuan Tuhan.

Ayuh semua pejuang kampus, sama-sama kita keluar dari zon selesa kita..bersama-samalah kita 'menyusahkan diri' demi melihat dakwah kembali subur..Cukup-cukuplah sekadar menunggu bulan jatuh ke riba tanpa usaha sekelumit pun..Walk the Talk..Belajarlah berkorban apa sahaja yang kita ada bersama meskipun ia pahit,namun dihujungnya pasti akan merasai kemanisan.Insyaallah..

Kuatkan semangat sahabat-sahabatku..adik-adikku..serta mereka yang sentiasa berjuang demi kebenaran..ingatlah Allah sentiasa bersama kita..tiada perjuangan tanpa mehnah dan kesusahan..pergantungan kepada Allah itu yang utama..

Alhamdulillah, ayuh, kita berganding bahu memburu redha Allah. Semoga tiap langkah kita wahai daie, diiringi petunjuk pimpinan dari-Nya jua.

Amin..



Wallahua'lam..

27 Okt 2010

JADILAH SEPERTI RAMA-RAMA

Assalamualaikum.....

Sudah lama ana tidak berblog ...rindu rasanya...ana terlalu sibuk yang tak dapat ana katakan...banyak assignment yang perlu siapkan...sampaikan mkn pun x sempat...tpi x pelah sbb kite berpegang pada prinsip "makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan". Hari tuu ana balik raya, gembira rasenya sbb mak dan ayh ana cakap ana dah nampak kurus daripada sebelum nii...haha...alah mcmlah anak dia nii gemuk sgt....hehe alah maklumlahkan selepas spm hari tuu...x de kerja nak buat...ayah ajak kerja kat dia tpi pergi jarang-jarang je...kejap2 pergi kejap2 tak...mcm chipsmore kata org...haha...oklah dah sudah, cukup smpai disini cerita pasal ana...

Disini ana nak ceritakan tentang "JADILAH SEPERTI RAMA-RAMA"...bukan nak cerita pasal salasilah keturunan rama-rama tpi kite diibaratkan seperti seekor rama-rama....

Tidak ada salahnya, sekali sekala kita merendahkan diri untuk belajar dari makhluk-makhluk Allah yang kecil. Bahkan itulah yang dituntut kepada kita, dengan kerendahan jiwa barulah kita dapat benar-benar merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT. Allah SWT tentunya tidak menjadi semua ciptaanNya untuk tujuan main-main atau sia-sia. Lukisan alam yang begitu indah ini adalah gambaran seni dan rapinya ciptaan Allah tetapi manusia yang selalu leka dan lupa diri sentiasa lupa untuk bersyukur. Kata Said Nursi Badi’uzzaman kita kagumkan lukisan tetapi kita lupa kehebatan Pelukisnya.

Sesungguhnya alam yang terbentang luas ini, kata syed Qutb merupakan kitab Rubbubiyyah yang terbentang. Sekiranya kita membuka lembarannya satu demi satu maka kita akan dapat memahami kehebatan Allah SWT. Bahkan ilmu Allah pun tak mampu kita taksir.

Cukuplah kali ini kalau kita melihat rama-rama. Makhluk kecil yang selalu kita terlepas pandang kewujudannya. Ya, rama-rama kecil yang berterbangan di sana sini. Mungkin tidak ramai yang tak sempat untuk mengkagumi seni dan keindahannya. Warna dan coraknya begitu indah dan serasi.

Ana begitu tertarik dengan gambaran penyair Tunisia, Ahmad Mukhtar yang dikemukakan oleh Muhammad Ahmad Ar Rasyid di dalam kitab dakwahnya iaitu Al Muntalaq. Kata-kata yang ringkas tetapi memiliki makna yang cukup mendalam. Tak hairanlah kalau ana tak jemu-jemu membacanya berulang kali.

Tenang dalam diamnya,
Lebih jelas dari orang yang berbicara.
Memang kecantikan rama-rama tidak lagi dapat dinafikan oleh sesiapa jua yang memiliki mata dan jiwa. Tidak ada bunyi yang dikeluarkan tetapi kita sering saja merasakan kehadirannya. Katakan ada seekor rama-rama yang tersesat masuk ke dalam kelas, rumah atau pejabat kita maka seluruh mata akan tertumpu padanya.

Begitulah syakhsiyah seorang muslimin/muslimat; pendiam, selalu berfikir, merenung dengan tenang, tidak banyak bicara tetapi diliputi kewibawaan yang berpengaruh. Hati-hati merasa terisi dengan kehadirannya, suasana terasa sunyi tanpanya, majlis semakin bermakna melihat ketibaannya dan jiwa-jiwa menumpang ketenangan dari raut wajahnya. Mukmin itu ibarat permata beserta kilauan keindahannya, ketika bersendirianpun cahayanya begitu jelas dan indah maka apatah lagi apabila permata permata itu dikumpulkan makin terserlah dan indah cahayanya. Segala tingkah lakunya adalah qudwah bahkan diamnya pun menjadi sumber tarbiah.

Bila diamnya terlalu lama,
Tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak.
Diam dan istirehat itu adalah sunnah kehidupan, namun seorang muslimin/muslimat tidak menjadikannya sebagai alasan untuk bermalasan, santai dan lalai melainkan sekadar memenuhi keperluan badani. Bermodalkan ilmu dan keimanan serta semangat dan keazaman, jiwanya sentiasa terdorong untuk beramal.

Namun syaitan tidak pernah mungkir dan lalai dengan janjinya untuk menyesatkan anak-anak Adam. Jiwa seorang mukmin sering tergugah dengan pujian dan sanjungan. Kilauan dunia hampir-hampir menjadikannya lalai dan leka dengan tujuan hidupnya yang hakiki. Namun dengan keimanan yang tertanam dijiwa dan rahmat Allah yang Maha Penyayang sering menjadikannya tersedar dan insaf. Itulah jiwa muslimin/muslimat, seperti rama-rama yang kadang-kadang terpaku dengan kilauan air yang menjadikannya ta'jub terhadap keindahan dirinya.

Betapa sering ia melihat bayangan dirinya, Yang terpantul dari riak air, Seakan-akan bintang yang berkilauan, Sedang permukaan air adalah cakrawalanya. Ia terbang mengelilinginya, Menatapinya dan merindukan seandainya dapat hinggap padanya, Akan tetapi hampir saja ia binasa tenggelam, Andai dirinya tidak segera sedar. Itulah gambaran jiwa yang beriman, Mustahil membodohi dirinya, Jelas sekali perbezaan antara kesesatan dan petunjuk baginya.

Marilah kita menjadi seperti seekor rama-rama, menghiasi diri dengan kemuliaan serta menjadikan amal sebagai keperluan...InsyaAllah...Wallahua'lam
(^_^)...May Allah Bless Ours Life....

14 Sep 2010

Ukhuwah Fillah..(^_^)

Satu perkongsian..Walaupun agak panjang,luangkan masa anda untuk membaca..

Ini satu penulisan yang sangat panjang. Ana rasa hal ini perlu diterangkan dengan agak dalam (termasuk dalil-dalil dan aspek fiqh) bagi memperjelaskan konsep sebenar yang cuba disampaikan. Semoga ini menjadi satu peringatan berguna buat ana dan anda semua.

Sengaja timbulkan topik itu.

Itu merupakan ucapan yang tidak asing lagi didengari di kalangan orang-orang muda yang ada semangat Islam. Itu bagus.

Tapi apa yang menjadi persoalan ialah, apabila ucapan itu kini dijadikan medium untuk merapatkan ukhuwwah antara lelaki dan wanita. Maknanya, ucapan itu dijadikan sebagai alasan bahawa lelaki dan wanita ini perlulah menjaga ukhuwwahnya kerana kita semua saudara seagama.


Sengaja ana menulis sebab ana rasa ada satu kesalahan dalam memahami konsep ini.

Benar, memang lelaki dan wanita Islam itu perlulah menjaga ukhuwwah kerana mereka saudara seagama.

Tetapi, jangan pula disamakan ukhuwwah lelaki dan lelaki (atau perempuan dan perempuan) dengan ukhuwwah lelaki-wanita. Inilah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh ramai pemuda dan pemudi Islam masa ini.

Dulu sna pun pernah tertipu dalam menerima konsep ini, akhirnya kini - alhamdulillah- ana sudah nampak betapa bahayanya perbuatan merapatkan hubungan lelaki-perempuan dengan berlapikkan alasan ukhuwwah fillah (ukhuwwah kerana Allah).



Hukum Pergaulan (ikhtilat) Lelaki dan Perempuan


Mungkin baik untuk kita membincangkan sedikit aspek fiqh bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang pergaulan lelaki-perempuan secara Islami, sebelum kita berbincang lanjut mengenai salah faham yang dimaksudkan di awal perbincangan tadi.

Dalam ilmu usul fiqh, pernyataan ini telah wujud: "asal semua perkara adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengubah hukum hal tersebut". Ini kerana Allah s.w.t telah berfirman:


"Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segalanya yang ada di atas bumi.." Al-Baqarah: 30


Namun, keumuman hukum halal atas semua benda ini akan berubah jika ada dalil lain yang mengubah hukumnya. Sebagai contoh, untuk memudahkan pemahaman: pada asalnya, hal A, B, C dan D semuanya dihukumkan harus (halal). Kemudian, turunlah suatu dalil spesifik untuk mengubah hukum B sahaja kepada haram. Jadi kita akan dapati A, C dan D masih halal tetapi hukum B telah berubah. Jadi, A, C, D masih tidak haram berdasarkan kaedah "asal semua benda adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya".


Dalam konteks perbincangan hari ini, pergaulan lelaki dan perempuan telah termasuk ke dalam jenis hal B dalam situasi di atas, di mana kita dapati disebabkan satu dalil, hukum asal 'harus' dalam pergaulan lelaki-wanita telah berubah:


" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." Al-Isra: 32


Lafaz menghampiri di atas menjadi antara hujah ke atas kaedah sadoz zaroi'e (menutup jalan-jalan kemudaratan) dalam ilmu fiqh. Ayat di atas menunjukkan perintah pengharaman bukannya pemakruhan. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa zina merupakan satu kesalahan yang berat sehingga menghampirinya pun dilarang Allah. Istilah "menghampiri zina" itu juga sangat luas maknanya, dalam erti kata lain, boleh jadi lelaki dan perempuan pun sepatutnya tidak boleh berhubung langsung kerana perhubungan lelaki dan wanita memang boleh membawa kepada zina.


Jadi, ikhtilat pun termasuk dalam perkara yang membawa kepada zina, sebab, bukankah dengan campur-gaul lelaki dan wanita boleh mengundang mereka kepada perhubungan yang lebih intim dan seterusnya berzina? Ini masuk akal bukan??

Tapi tunggu dulu. Jangan panik. Islam bukanlah agama yang sebegitu rigid. Islam mengambil jalan tengah dalam banyak hal, dan dalam hal ini Islam tidak menghalalkan secara total perhubungan lelaki-perempuan mahupun mengharamkannya secara total. Masih ada banyak dalil-dalil lain dan hadith-hadith yang perlu diperhatikan sebelum mendapatkan penjelasan hukum yang paling tepat mengenai situasi dan kaedah perhubungan lelaki dan perempuan menurut Islam.


Contohnya, jika perhubungan lelaki dan perempuan langsung tidak dibolehkan, mengapa ada hadith-hadith yang menunjukkan bolehnya lelaki dan perempuan saling memberi salam selagi tiada fitnah atau syahwat? (Rujuk hadith no. 1045 hingga no. 1048 dalam kitab Adabul Mufrad, oleh Imam Al-Bukhari)


Sebagai kesimpulan bagi sub-topik ini, kita dapati ikhtilat:


  • Tidak sesuai dihukumkan halal secara total kerana terdapat larangan menghampiri zina dalam ayat 32 surah Al-Isra' di atas, kerana ikhtilat itu berpotensi membawa kepada zina.
  • Tidak juga sesuai dihukumkan haram secara total kerana adanya hadith-hadith sahih yang menunjukkan adanya penglibatan antara lelaki dan wanita dalam hal-hal tertentu.

Jadi satu pendapat yang pernah saya dengar dalam satu majlis ilmu yang bagus ialah dengan menyebut asal hukum ikhtilat sebagai "tidak boleh", dalam erti kata lain boleh difahami sebagai: "tidak boleh dilakukan selagi ada sebab yang mengharuskannya". Baik, apakah sebab-sebab itu? Kita akan bincangkan di bawah. Teruskan membaca.


Pergaulan lelaki perempuan: Kerana suka-suka atau bersebab?


Di sini merupakan satu persoalan yang paling penting dalam membahaskan isu 'ukhuwwah lelaki-perempuan' ini. Sepertimana yang telah kita sedia maklum tadi, ukhuwwah lelaki-perempuan itu tidak salah, cuma yang menjadi salah faham ialah bagaimana ukhuwwah tersebut dimanifestasikan.


Apakah contoh manifestasi ukhuwwah? Itulah yang dinamakan perhubungan, komunikasi atau pergaulan antara lelaki-perempuan. Daripada sinilah bangkitnya persoalan-persoalan penting yang menjadi titik penentu antara harusnya atau cegahan terhadap ukhuwwah lelaki-perempuan tersebut.


Satu persoalan penting ialah:

"Adakah pergaulan yang terbentuk itu kerana suka-suka atau kerana satu tujuan yang baik?"

Apa yang ana maksudkan dengan 'suka-suka' ialah tabiat ingin melakukan sesuatu kerana mengharapkan keseronokan atau hiburan semata-mata. Dalam konteks perbincangan ini, apabila seorang lelaki itu dikatakan 'suka-suka' sahaja untuk berkomunikasi dengan wanita, ini bermakna dia berkomunikasi dengan wanita tersebut hanya untuk bergurau senda, berbual-bual kosong, atau lain-lain yang tidak penting.

Dan apa yang ana maksudkan dengan tujuan yang baik ialah apabila seorang lelaki itu berinteraksi dengan wanita atas sebab-sebab yang memberi manfaat di mana tanpa berlakunya komunikasi tersebut, urusan sesuatu perkara akan jadi susah. Di sini penglibatan lelaki-wanita untuk berbincang dan sama-sama bekerja (dengan akhlak Islami yang sejati) adalah sangat mustahak dan dituntut dalam Islam.

Sikap ukhuwwah lelaki-perempuan kerana suka-suka sudah tentu perbuatan yang sia-sia dan merosakkan akhlak muslim, sedangkan sikap ukhuwwah kerana tujuan yang baik adalah sesuatu yang didukung oleh syariat Islam.


Akhlak Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat r.a Terhadap Pergaulan Lelaki-Wanita, Serta Isu-Isu Penting Mengenainya


Dalam bukunya Fatwa Mua'sirah (Fatwa Masa Kini), Dr Yusuf Qardhawi, tokoh a'lim fiqh yang mahsyur masa kini ada menyebut mengenai hadith-hadith (beserta takhrijnya) dan hal-hal berikut:


Daripada Ummu A'tiyyah: "Saya telah menyertai Rasulullah dalam tujuh siri peperangan. Ketika angkatan bergerak, saya berada di barisan belakang. Tugas saya ialah menyediakan makanan, merawat mereka yang cedera serta menjaga mereka yang sakit" (Riwayat Muslim)

Pernah suatu ketika lelaki dan wanita berasak-asak dalam mengajukan soalan kepada Rasulullah. Lalu mereka (wanita) meminta kepada Rasulullah supaya mengkhususkan satu hari untuk mereka tanpa disertai kaum lelaki. Permintaan tersebut telah diterima oleh baginda di mana baginda sendiri kemudiannya mengkhususkan satu hari untuk kaum wanita mempelajari agama, mendengar peringatan dan sebagainya. (Riwayat Bukhari)

Istilah ikhtilat (percampuran atau pergaulan) merupakan satu perkataan yang diimport masuk ke dalam kamus Islam. Ikhtilat tidak sesuai digunakan kerana ia langsung tidak pernah dikenalpasti kewujudannya dalam sejarah kegemilangan Islam melainkan hanya wujud di zaman moden ini sahaja. Istilah yang lebih sesuai berbanding ikhtilat mungkin ialah liqa (pertemuan) ataupun musyarakah (penyertaan).


Demikianlah ana memetik secara ringkas apa yang dinyatakan dalam kitab Fatawa Mua'sarah. Dr. Yusuf Qardhawi sendiri ada menyebut tentang ketidaksuaian penggunaan lafaz "percampuran" dalam menggambarkan interaksi lelaki-perempuan dalam Islam. Apatah lagi jika percampuran tersebut adalah atas hal-hal yang sia-sia?


Mungkin lebih baik jika kita berinteraksi lelaki-wanita berdasarkan konsep penyertaan atau pertemuan seperti dinyatakan di atas. Ini kerana apabila kita sebut perkataan 'penyertaan' atau 'pertemuan' pun, kita dapat merasakan kewujudan satu batasan sosial dalam perhubungan lelaki-wanita tersebut, berbanding dengan lafaz "percampuran". Inilah apa yang disarankan dalam syariat Islam bagi memenuhi tuntutan larangan menghampiri zina tadi. Jadi, selagi mana perhubungan tersebut berlaku menurut adab-adab dalam syariat Islam dan mempunyai matlamat yang murni, maka ia tidak dianggap sebagai menghampiri zina, jadi ia bukanlah satu larangan.


Antara Syarat-Syarat Berhubung Lelaki-Wanita Yang Diambil Mudah Oleh Pemuda-Pemudi Islam


Sekali lagi kita rujuk kitab Fatwa Mu'asarah untuk mengetahui syarat-syarat dalam interaksi lelaki-wanita. Terdapat 6 syarat semuanya, tetapi ana hanya memetik tiga sahaja daripadanya kerana ana rasa inilah syarat-syarat yang sering tidak dipatuhi dalam interaksi antara sesetengah pemuda-pemudi Islam:

  • "Kedua-dua belah pihak hendaklah memelihara pandangan; jangan melihat pada aurat, jangan melihat dengan penuh nafsu, atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa keperluan. Allah berfirman dalam Al-Quran: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka" Surah An-Nur: 30-31
  • Memelihara adab dalam berurusan antara lelaki-wanita, terutamanya kepada wanita: jauhi nada menggoda ketika bercakap (rujuk surah Al-Ahzab:32), berjalan dengan penuh sopan dan tertib (rujuk An-Nur:31 dan Al-Qasas:25), dan mestilah mengelakkan gerakan manja/seksi/menggoncang-goncangkan badan.
  • Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja ataupun pada urusan yang memang menuntut kedua-duanya hadir bersama tanpa berlebih-lebih dan melampau.

Inilah 3 syarat yang dimaksudkan. Kita dapat lihat syarat-syarat ini banyak tidak dipatuhi oleh pemuda-pemudi Islam di peringkat sekolah menengah, universiti mahupun yang bekerja. Kita melihat betapa ramainya pemuda-pemudi Islam bebas berkomunikasi dan bercampur-gaul kerana suka-suka dan untuk bergurau-senda, sedangkan mereka itu bukan mahram sesamanya. Perkara ini memang jelas menyalahi etika perhubungan lelaki-wanita dalam Islam. Semoga Allah menjauhkan diri kita daripadanya.


Satu Kesimpulan dan Renungan


Jelaslah kita kini tentang masalah pergaulan yang melanda umat Islam khususnya pemuda-pemudi Islam. Apa yang begitu menyedihkan ialah pergaulan itu boleh pula diisytiharkan atas tema 'ukhwah fillah', sedangkan ia langsung tidak menepati apa yang digariskan dalam syariat Islam. Tidak ada langsung hadith dan ayat Al-Quran yang mengharuskan ukhwah sesama lelaki dan wanita sebegini rupa, iaitu berhubungan kerana suka-suka ataupun mengamalkan adab berhubungan lelaki-wanita yang tidak Islamik.

Pemuda-pemudi Islam telah terpengaruh dengan gaya hidup sosial yang diperkenalkan generasi muda barat. Di sinilah kita lihat ada di antara generasi muda Islam telah mencampur-adukkan adab murni Islami dengan budaya barat. Akibatnya, lahirlah sikap "bergaul lelaki-wanita kerana Allah", di mana mereka menyangka boleh bebas berhubung sesuka hati mereka selagimana mereka menjaga aurat dan pandangan.

ikhtilat elektronikiyyah


Inilah satu perkara yang kerap diambil mudah. Sebenarnya hanya dengan menjaga ciri-ciri zahir dalam perhubungan lelaki dan wanita itu sahaja tidak mencukupi. Matlamat perhubungan dan niat di hati perlu juga dijaga. Dalam erti kata lain, selain menjaga adab-adab berhubung lelaki-wanita menurut Islam, matlamat perhubungan tersebut hendaklah memberi manfaat, dan niat perhubungan tersebut adalah untuk menyelesaikan urusan yang dihajatkan; bukannya diniatkan atas sebab ingin berbual-bual dengan 'si dia' dan sebagainya.

Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada diri ana dan diri anda semua. Sesungguhnya kita tidak dapat lari daripada kesilapan dalam kehidupan. Orang yang bijak dan baik akan sentiasa memperbaiki dirinya jika adanya kelemahan dan bertaubat daripada melakukannya lagi.Ana berdoa agar ana dan anda tergolong dalam orang seperti itu. Semoga Allah tunjukkan kita ke jalan yang lurus dan kehidupan yang penuh hikmah dan hidayah dariNya.


Wallahu a'lam...salam ukhuwah fillah..(^_^)

13 Sep 2010

Segalanya Sudah Terjawab....

Kadang-kadang ...bilamana Kita dilanda pelbagai ujian dan dugaan hati

Ini selalu sahaja merintih...Dan pelbagai persoalan timbul dibenak

Hati sanubari Kita.......

KENAPA AKU DIUJI ?

" Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan ;" Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji ? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum

Mereka ,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar Dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta ."

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN ?

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal IA amat baik bagimu, Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal IA amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui ."

-Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI ?

" Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

-Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA KECEWA ??

" Janganlah kamu bersikap lemah, Dan janganlah pulak kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman. "

-Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA ?

" WAhai orang-orang yang beriman ! Bersabarlah kamu ( menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan

),Dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan , Dan bersedialah ( dengan kekuatan pertahanan di

Daerah-daerah sempadan ) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya ( mencapai kemenangan )."

-Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah )dengan jalan sabar Dan mengerjakan sembahyang; Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

-Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI ??

" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin , diri , harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka......"

-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP ?

" Cukuplah Allah bagiku,tidak Ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal ."

-Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI !!!!!!!!!!

" .. Dan janganlah kamu berputus ASA dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus ASA dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

-Surah Yusof ayat 12

Semoga segala persoalan dan rintihan yang melanda jiwa ,dan juga sanubari Kita terubat dengan janji-janji Allah.....

Sesungguhnya kepada kitab suci Al-Quran lah tempat Kita merujuk segala permasalahan.....

kerana Dialah penawar.....penawar bagi Kita...

Disitulah terungkap segala jawapan di benak hati kita......

marilah Kita kembali kepada Al-Quran...

kembali mengamalkan ajaran yang terkandung didalamnya...

Bacalah dengan penuh khusyuk dan tawaduk,

sesungguhnya yang JELAS ITULAH AL-QURAN....

SEGALANYA ADA DISITU bukan di klasik nasional....hehe...


Wallahua'alam....

Wassalamun'alaik.....