Kebersihan Hakiki Datang Dari Hati Yang Suci....~~

Jika iman telah lenyap, maka tidak ada lagirasa aman .
Dunia ini tidak bererti jika agama tidak lagi dijunjungi.
Siapa orang yang hidup tanpa agama maka kehancuran akan menjadi teman setianya....

17 Mei 2010

7 Sunnah Nabi S.A.W

Bismillahirrahmannirrahim.....

Nabi SAW pernah bersabda ; “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Kawan-kawan, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah Nabi SAW. Ulamak berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amal sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?
1. Pahala yang berlipat ganda

2. Keberkatan.

Baik, kali ini ana nak kongsikan dengan anda tentang sunnah-sunnah Nabi SAW (setakat yang ana tahu). Bolehlah kita sama-sama amalkan yer.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:


Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam.” (riwayat Muslim)

Firman Allah Taala:
“Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajjud,sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik.” (al-Isra’:97)

Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hanya dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud.

Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari

Rasulullah s.a.w. bersabda, ... Sebaik-baik kamu semua ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. (riwayat Bukhari).

Dalam riwayat lain Baginda bersabda; Seutama-utama ibadah umatku itu ialah membaca al-Quran. (riwayat Abu Nai’m).


Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.Ustaz di kampung ana cakap, sentiasalah mengamalkan membaca surah Yassin selepas subuh..dengan ini setiap perkerjaan yang kita lakukan pada hari itu insyaAllah diberkati olehNya..dan murah rezeki....InsyaAllah

Ketiga: jangan tinggalkan masjid(solat berjemaah) terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)


Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?

Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim)


Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

Maksudnya :"Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan"

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya : " Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab "An-Nurain" sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan."

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu berkata :

"Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam berkata : "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas"

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Abu Dzarr R.a. berkata bahawa beberapa sahabat Rasulullah s.a.w. berkata,
"Ya Rasulullah, orang-orang yang banyak hartanya memperoleh lebih banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka."
Nabi s.a.w. lalu berkata,
"Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar sedekah, Berjimak dengan isteri pun sedekah."
Para sahabat lalu bertanya,
"Apakah memuaskan nafsu syahwat mendapat pahala?"
Nabi menjawab,
"Tidakkah kamu mengerti bahawa kalau dipuaskan nafsu syahwat di tempat
yang haram bukankah itu berdosa? Begitu pula kalau syahwat diletakkan di
tempat halal, maka dia memperoleh pahala."

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk”
(Hadis Riwayat Abi Daud)
.


Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat.Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

Dan dengan berzikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda, siapa yang banyak mengingati Allah (zikir), Allah sayangkannya.
(Riwayat Dailami dari Aisyah r.a.
)

Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala berfirman bahawa Allah Subhanahu Wataala sentiasa mengingati hamba-hamba-Nya yang mengingati-Nya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 yang tafsirnya :

"Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukur kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku".

Salah satu jalan untuk mengingati Allah Subhanahu Wataala itu ialah dengan berzikir. Kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir kepada Allah Subhanahu Wataala jika mahu hampir kepada-Nya.

Zikir adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusyuk dan tawaduk. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-'Araaf ayat 205 yang tafsirnya :

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut untuk melanggar perintah-Nya dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai".

Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah seperti membaca tasbih 'Subhanallah' bertakbir 'Allahuakbar', membaca hauqalah 'Lahaula wala Quwata Illa Billah', membaca hasballah 'Hasbiallah', membaca basmallah 'Bismillahir Rahmanir Rahim', membaca Al-Quran Al-Karim dan membaca doa-doa yang maksur iaitu doa yang diterima dari Nabi Muhammad s.a.w.

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar taqwa serta penuh dengan keyakinan dan keikhlasan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Wallahualam
bissawab...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan